Jakim perlu perkenal logo haram, kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Dewan Pemuda PAS mengesyorkan kerajaan memperkenalkan logo haram bagi mengatasi masalah lambakan barangan atau produk haram yang semakin membimbangkan umat Islam.

Malah sayap pemuda PAS itu juga meraskan bahawa langkah itu perlu diambil memandangkan terdapat sesetangah produk yang menggunakan logo halal secara palsu.
“Fenomena ini mencetus kekeliruan dan memerangkap umat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan At-Tantawi.

Kata Nasrudin, selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berwajib juga mesti berani untuk mengisytiharkan produk-produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan umat Islam.

“Setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo haram untuk menjauhkan masyarakat umat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram,” kata beliau.
Kata Nasrudin, “sebelum ini telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka.”

Justeru katanya, mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal sementara pihak Jakim tidak mempunyai skuad yang mencukupi untuk membuat pemantauan yang serius.

“Dewan Pemuda PAS menjangka andainya Jakim mengisytiharkan produk-produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut, peluang untuk lambakan barangan haram di pasaran akan menjadi lebih kecil.

“Pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo haram jika mereka benar-benar mahu mencari produk halal di pasaran,” katanya.

Wednesday, July 28, 2010 at 10:27 PM

0 Comments to "Jakim perlu perkenal logo haram, kata Pemuda PAS"

Post a Comment